Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


LELAKI dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar pil kuda, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Wan Mohd Ibnul Hajar Muhammad, 29, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding keputusan kes itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine (pil kuda) seberat 55.58 gram di tepi jalan Peringkat 3, Bandar Cheneh, Kemaman, kira-kira 1 pagi, 15 September 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b(2) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 2:08 PM
WAN Mohd Ibnul Hajar dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Imran Makhzan