Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

POLIS tidak menolak kemungkinan mayat rentung yang dijumpai dalam kebakaran di Sungai Lembing, Sabtu lalu adalah mayat suami isteri yang dalam keadaan berpelukan selepas terperangkap di rumah mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sebelum ini hanya satu mayat saja dipercayai milik wanita warga emas ditemui sehingga operasi dan menyelamat ditangguhkan semalam manakala suaminya masih dilaporkan hilang.

“Kemungkinan itu diambil kira kerana kebiasaannya apabila dalam keadaan panik dan ketakutan mangsa saling berpelukan dan kita tidak menolak kemungkinan mayat yang dijumpai sebelum ini adalah cantuman dua mayat.

“Kita sudah melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) bagi mengesahkan sama ada mayat itu adalah seorang ataupun bercantum (berpelukan)...sampel berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pekan antara Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof dengan Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat termasuk sebuah perpustakaan musnah dalam kebakaran itu.

Anggota bomba menjumpai satu mayat dipercayai Chow Kim Mui, 70, berdasarkan cincin yang dipakainya manakala suaminya, Ho Yok Fun, 74, masih dilaporkan hilang.

Sementara itu mengulas identiti tiga mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau, dekat Mengkuang, Bera, 20 Ogos lalu, Abdul Jalil berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh ujian DNA.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suami isteri rentung

33 rumah, 19 kedai hangus

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 1:34 PM
Abd Jalil (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Mohd Razli (kanan) dan Mohd Zaidi. FOTO Farizul Hafiz Awang