Antara kenderaan yang terbabit dalam kemalangan hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


AKIBAT masalah brek, sebuah bas kilang menyebabkan 13 kereta rosak dalam kemalangan di jalan berbukit di simpang lampu isyarat Amanjaya, Sungai Petani hari ini.

Dalam kemalangan 8.15 pagi tadi, semua kenderaan berada di laluan sama iaitu dari arah Spice Village Amanjaya menghala ke lampu isyarat Lencongan Timur.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, keadaan kawasan tempat kemalangan yang curam dan berbukit menyebabkan kelajuan bas gagal dikawal ketika kejadian.

“Akibat masalah brek, bas itu meluncur ke hadapan mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah kereta di hadapannya.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan semua kenderaan di hadapan berlanggar sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat mangsa yang cedera dan mereka dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk menerima rawatan lanjut.


Antara mangsa yang cedera dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan 13 kenderaan. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mansor Harun, 50, berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan dia hanya menyedari keretanya sudah bergerak ke depan bersama kenderaan lain yang terbabit.

Dia yang menaiki Perodua Alza berseorangan dalam perjalanan untuk sarapan pagi ketika kemalangan berlaku.

“Kejadian berlaku pantas, saya sedar bila lihat kereta remuk lain di hadapan saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kereta saya saja yang rosak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 12:57 PM