Michael (tengah) bersama Ann dan anaknya, Edward yang hadir membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan MCA
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


BUKAN saja mengancam untuk menyimbah cat merah di rumah, sebaliknya ceti haram atau along turut minta seorang penuntut sebuah kolej swasta menjadi budak penghantar dadah bagi melunaskan hutang yang didakwa dipinjam ibunya.

Gangguan itu bermula selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bahawa ibunya mempunyai hutang berjumlah RM4,000.

Susulan tidak tahan diganggu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Edward, 21, itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Cheras pada minggu lalu sebelum memohon bantuan Biro Pengaduan Awam MCA hari ini.

Edward mendakwa gangguan lelaki itu bermula pada 27 Ogos lalu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki.

“Lelaki itu memaklumkan bahawa ibu saya mempunyai tunggakan hutang RM4,000 dan minta saya bertanggungjawab untuk melangsaikan hutang berkenaan.

“Selepas beritahu tidak mempunyai wang seperti diminta, dia meminta saya bekerja sebagai budak penghantar dadah pula,” katanya ketika sidang media bersama ibunya, Ann Mee dan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ann berkata, dia pernah membuat pinjaman sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki dikenali di Facebook (FB) tetapi tidak pernah menerima wang berkenaan.

Menurutnya, selepas itu juga dia ada membuat pinjaman RM2,000 daripada dua ceti haram lain, namun sudah melangsaikan hutang berkenaan dengan membuat bayaran sebanyak RM3,000 termasuk faedah dikenakan.

“Selepas hutang dilangsaikan, saya tidak lagi mempunyai hutang dengan sesiapa pun dan saya syak, mereka ini mengambil kesempatan untuk melakukan peras ugut bagi mendapatkan wang mudah termasuk daripada anak saya.

“Jadi, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap mereka ini yang bukan saja melakukan ugutan, sebaliknya menawarkan pekerjaan yang menyalahi undang-udang kepada anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:37 PM