GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LELAKI Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman di dada kiri dipercayai dilakukan rakan sebiliknya di sebuah rumah kedai di Laluan Sri Pengkalan, Pusing, Batu Gajah, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun dan bekerja di sebuah kedai perabot dipercayai bertengkar dengan suspek yang juga rakan sebiliknya dan pergaduhan itu didengari orang awam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan mengenai pergaduhan itu jam 6.30 petang sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, polis menemui mayat mangsa berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring di bilik dengan kecederaan di dada kiri dipercayai ditikam.

“Pemeriksaan Forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak mendapati terdapat satu kesan tikaman di dada kiri mangsa, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui gunting di lokasi kejadian.

“Gunting berkenaan dipercayai senjata digunakan suspek untuk menikam mangsa dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) Ipoh, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ahmad Adnan berkata, bedah siasat dijalankan malam tadi mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan tusukan objek tajam ke dada

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek yang masih bebas.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan Ramesh di talian 05-3629222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:18 PM