Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SINDIKET pinjaman tidak wujud yang aktif memperdaya serta menipu mangsa membabitkan kerugian lebih RM600,000 sejak enam bulan lalu tumpas selepas polis menyerbu banglo di Bandar Puteri, Klang, 29 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, serbuan pada 4.15 petang itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam serta risikan polis.

Menurutnya, empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia 19 hingga 27 tahun dipercayai anggota sindiket ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 14 unit telefon bimbit, 12 kad mesin juruwang automatik (ATM), 11 keping kad sim, dua dokumen maklumat mangsa, salinan nombor telefon, kertas skrip penipuan serta dua kenderaan iaitu Toyota Vios dan Proton Saga FLX.

“Sindiket dipercayai baru dua minggu beroperasi di kediaman berkenaan dan juga selalu berpindah randah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, semua anggota sindiket itu tinggal di kediaman berkenaan dan menerima upah RM1,500 sebulan.

“Polis menerima 95 laporan membabitkan mangsa yang ditipu sindiket ini dengan kerugian dianggarkan RM638,000.

“Semua suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Mengulas lanjut, Fazlisyam berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan pinjaman wang dengan cara mudah tanpa melalui prosedur rumit serta dokumen penting.

Katanya, mangsa yang bersetuju untuk meminjam akan diminta memasukkan sejumlah wang yang didakwa bagi kegunaan bayaran kepada peguam dan sebagainya.

“Sindiket akan menyatakan permohonan mangsa tidak diluluskan dan perlu bayar sejumlah wang kepada pihak atasan bagi mendapatkan pinjaman.

“Ia juga bertujuan menunjukkan mangsa bersungguh-sungguh mendapatkan pinjaman namun selepas wang dibayar, mangsa tidak memperoleh sebarang pinjaman wang,” katanya.

Fazlisyam berkata, sindiket mensasarkan golongan belia berusia 20 hingga 30 tahun yang mana mereka memerlukan wang segera bagi menampung kos kehidupan seharian.

“Statistik JSJK Selangor menunjukkan 378 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan kerugian lebih RM4.4 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 1:43 PM
Fazlisyam (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas berkaitan kes sindiket pinjaman tidak wujud. FOTO Saddam Yusoff