Fazlisyam menunjukkan gambar Mohsin yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan. FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


POLIS Selangor memburu lelaki yang didakwa terbabit dengan penipuan projek perumahan mampu milik membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Lelaki itu dikenali Mohsin Bujang, 64, dengan alamat terakhirnya di Kondominium Desa Cahaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, suspek mendakwa dirinya bergelar Datuk namun siasatan mendapati ia palsu.

“JSJK Selangor meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu ini agar menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor D Inbaraja (014-6692966), Inspektor Nur Syahirah Ahmad (019-3176785) dan Inspektor Mohd Adib Ashraff (017-988891).

“Mereka juga boleh tampil menghubungi mana-mana balai polis berhampiran jika ada maklumat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, suspek dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 1:31 PM