DR MAHATHIR menerima kunjungan hormat Dr Othsman. FOTO Bernama
Hardi Effendi Yaacob
hardi@bh.com.my


UMAT Islam perlu berusaha memperkasakan sosio-ekonomi mereka dan mengikis sikap hanya mahu bergantung kepada pihak lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hanya cara itu membolehkan umat Islam dipandang tinggi dan dihormati oleh penganut agama lain.

“Di mana-mana sahaja, kita dapat saksikan orang Islam miskin dan hanya berharap kepada pertolongan orang lain. Umat Islam kena ikut cara Islam... perlu amanah dan rajin berusaha.

“Ini sememangnya diajar dalam agama kita. Jika kita berpegang kepada semua elemen ini, pasti kita boleh berjaya. Ini yang perlu kita ubah dan kembali kepada apa yang dituntut oleh agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan khas bersama komuniti Islam Kemboja di hotel penginapannya di Phnom Penh, petang hari ini.

Hadir sama Menteri Tugas Tugas Khas Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan yang juga menteri bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Islam di negara itu.

Pada majlis yang sama, Dr Mahathir turut diberikan Anugerah Tokoh Kepemimpinan Islam oleh komuniti Komuniti Islam Kemboja sebagai mengiktiraf peranan aktif Malaysia membantu masyarakat itu.

Dr Mahathir ketika mengulas lanjut berkata, cukup menyedihkan melihat ada dalam kalangan umat Islam dibelenggu kemiskinan, seterusnya ditindas, termasuk dikaitkan dengan elemen negatif.

“Ada segelintir dalam kalangan kita tidak mahu berusaha, bekerja dan hanya mengharapkan bantuan semata. Inilah masalah utama dihadapi umat Islam.

“Malah, ada peluang berniaga pun, kita tidak mahu memanfaatkan peluang itu untuk memperkasakan sosio-ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan memberi banyak peluang untuk umat Islam meningkatkan taraf hidup, malah perkara itu turut digalakkan oleh agama.

“Bila kita berniaga dan memiliki pekerjaan, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan orang lain.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya... kita memiliki kepandaian dan kemahiran, tapi kita tidak manfaatkan. Sebab itulah kita perlu kembali kepada asas ajaran Islam,” katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja atas jemputan rakan sejawatannya, Hun Sen, bermula hari ini

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke Kemboja dalam tempoh 25 tahun.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah turut menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia Di Kemboja di hotel penginapannya malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 9:08 PM