ABDUL Rahman (kiri) dan penduduk Kampung Balik Batu bergotong-royong membina benteng daripada guni pasir bagi mengelakkan kediamannya roboh akibat hakisan pantai dan fenomena air pasang besar. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


RUMAH nelayan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah rosak akibat fenomena air pasang besar, hari ini yang memburukkan masalah hakisan pantai di kampung itu sejak awal bulan lalu.

Rumah Abdul Rahman Daud, 59, rosak pada bahagian dinding bawah selepas dipukul ombak besar berikutan fenomena itu hari ini menyebabkan empat penghuni rumah berkenaan menyelamatkan diri sejurus terdengar runtuhan dinding.

Dalam kejadian 4 pagi itu, Abdul Rahman dan isteri, Aisyah Abdul Ghani, 52, serta dua anak lelaki berusia 18 dan 22 tahun terjaga daripada tidur selepas terdengar runtuhan dinding dapur.

“Sedang nyenyak tidur tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari bahagian dapur dan selepas diperiksa kami terkejut apabila mendapati bahagian bawah dinding sudah runtuh dipukul ombak dan air pasang besar,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Abdul Rahman berkata, dia dan anggota keluarganya berhati-hati selepas hakisan pantai semakin meluas dan sudah terlalu hampir dengan dinding dapur kediaman mereka sejak dua minggu lalu.

“Keadaan itu diburukkan lagi dengan air pasang besar dan ombak kuat akibat angin selatan sejak awal Julai lalu tetapi kami tiada tempat lain untuk berlindung, kecuali di rumah ini.

Selain kediaman Abdul Rahman, terdapat empat lagi rumah penduduk di tepi pantai yang dihuni 23 orang turut menghadapi risiko mengalami kerosakan atau lebih buruk lagi runtuh akibat hakisan pantai manakala fenomena air pasang besar memburukkan keadaan semasa.

Berikutan itu, Abdul Rahman terpaksa meminta abangnya, Roslan, 67, membantunya membina lebih banyak benteng daripada guni pasir bagi menghalang hakisan dan air pasang besar merosakkan kediamannya.

Usaha berkenaan diringankan lagi apabila beberapa orang penduduk kampung itu turut membantu mereka bagi memastikan hakisan dan fenomena berkenaan tidak menyebabkan Abdul Rahman kehilangan tempat tinggal.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, jabatan itu masih menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membina batu lapis lindung atau ‘rock revetment’ di kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:11 PM