MUHAMAD ALIFF ROZAHIMIEI menunjukkan replika cek bantuan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


INGIN mengubah nasib keluarga menjadi pendorong kepada Muhamad Aliff Rozahimie Md Rasid yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dekat Kuantan.

Muhamad Aliff Rozahimie, 23, yang mengalami masalah sakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak dari kecil itu antara 2,291 penuntut baharu yang mendaftar di UMP, hari ini.

Menurut anak tunggal itu, dibesarkan dalam keluarga di mana kedua ibu bapa berpisah menyebabkan dia mahu mencabar diri menjadi individu berjaya.

“Saya mahu membalas jasa ibu (Zadina Mohd Khalid, 50,) yang membesarkan saya seorang diri sejak dari kecil. Faktor ini menyebabkan saya berusaha keras di mana saya mahu ubah nasib keluarga dan menjadi orang yang berjaya,” katanya.

Sebelum ini, Muhamad Aliff Rozahimie menerima sumbangan MyGift daripada UMP sebagai insentif bantuan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Dia yang berasal dari Kemaman, Terengganu bersyukur kerana berjaya menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di UMP.

“Sebelum ini saya ambil diploma di UMP, jadi rasanya tidak ada masalah bagi saya belajar di sini. Lagipun mudah untuk saya balik ke Kemaman untuk melihat ibu sebab dekat dengan Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Wan Azhar berkata, UMP menawarkan 32 program termasuk tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data, Sarjana Muda Teknologi Automotif dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas.

Beliau berkata, seramai 2291 mahasiswa baharu juga ditawarkan tempat bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda mulai Sesi 2019/2020 yang berlangsung serentak di kedua-dua kampus UMP kampus Gambang dan Pekan, hari ini.

“Daripada jumlah itu seramai 427 ditawarkan pengajian teknologi kejuruteraan, kejuruteraan (989), komputeran dan sains gunaan (602) dan program pengurusan dan Kemanusiaan (273).

“UMP turut menawarkan seramai 44 pelajar antarabangsa daripada Yaman, Syria, Bangladesh, Palestin, Somalia, Pakistan, Jerman, China dan Indonesia,” katanya.

Katanya lagi, UMP memperuntukkan sebanyak RM69,000 sumbangan MyGift sebagai insentif bantuan pendidikan membabitkan seramai 69 siswa baharu yang mendaftar masuk UMP kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 2:47 PM