TINJAUAN Harian Metro di sekitar Jalan Silang dan Jalan Petaling yang dipenuhi warga asing, semalam.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


BEBERAPA lokasi tumpuan di sekitar ibu negara masih ‘ditakluk’ ribuan warga asing yang berkumpul bagi menghabiskan masa cuti umum dan hujung minggu.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Pasar Seni, Jalan Petaling dan Jalan Tun Tan Siew Sin atau Jalan Silang mendapati warga asing terutama dari Bangladesh, Nepal dan Pakistan membanjiri kawasan itu untuk melepak serta membeli barang keperluan harian.

Biarpun ia dianggap satu kebiasaan, ia mengundang rasa tidak selesa orang ramai kerana bukan saja sesak malah kaki lima di sekitar kawasan itu dipenuhi peniaga asing yang menjual pelbagai barangan termasuk sirih dan rokok.

Selain itu, kawasan berkenaan didapati kotor dengan dipenuhi puntung rokok dan kesan ludahan sirih oleh warga asing terbabit.

Peniaga, Muhamad Hasraf Abdul Shukor, 35, berkata, warga tempatan sememangnya mengelak melalui lokasi itu terutama di Jalan Silang kerana bimbang keselamatan diri.

“Suasana sesak memang biasa dilihat setiap kali cuti umum dan musim perayaan di kawasan ini yang dimonopoli sepenuhnya warga asing.

“Kesesakan itu mungkin menyebabkan warga tempatan tidak berani memasukinya kerana turut dipenuhi peniaga di kaki lima selain keadaan persekitaran yang kotor,” katanya yang berniaga di situ sejak empat tahun lalu.

Bagi kakitangan swasta, Siti Rafidah Zain, 30, dia sebagai wanita kurang selesa dengan tindakan warga asing yang berkumpul dan berasa dirinya seolah-olah diperhatikan.

“Saya pernah pergi ke kawasan itu yang rata-ratanya dipenuhi golongan lelaki dan tidak berani melaluinya bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Samsu Kama Andak, 49, pula berkata pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan secara lebih kerap sama ada berkaitan keselamatan atau kebersihan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:15 AM