ANTARA aksi berbahaya dilakukan penunggang motosikal di sekitar iub negara. FOTO IHSAN JSPT
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


TIGA remaja berusia 19 hingga 21 tahun yang cuba menunjuk lagak dengan menunggang motosikal secara berbahaya akhirnya ditahan dalam Op Samseng Jalanan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, malam tadi.

Ketiga-tiga penunggang ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selepas dikesan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ dengan motosikal masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, seorang daripada remaja itu menuntut di sebuah kolej di ibu negara manakala dua lagi tidak bekerja.

Katanya, selain melakukan aksi berbahaya, ketiga-tiganya dikesan turut melakukan ubah suai pada motosikal masing-masing.

“Dua remaja masih menganggur didapati tidak mempunyai lesen sah.

“Selain melakukan aksi berbahaya, mereka juga didapati mengubahsuai motosikal dan enjin selain menggunakan ekzos tidak menepati piawaian serta terlalu bising,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi membabitkan Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal bermula jam 10 malam dan berakhir jam 4.30 pagi diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Safiee Ishak, sebanyak 552 saman dikeluarkan.

Katanya, antara kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian ekzos, tiada cermin sisi dan tidak memiliki lesen memandu sah.

“Dalam operasi ini, JSPT Kuala Lumpur turut menyita 13 kereta dan tiga motosikal mengikut Seksyen 60 APJ 1987 kerana melakukan pengubahsuaian melampau pada kenderaan.

“Malah, operasi seperti ini akan kerap dilaksanakan bagi membanteras kegiatan tidak sihat dalam kalangan remaja termasuk kegiatan samseng jalanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:35 PM