Mangsa maut di lokasi akibat parah beberapa anggota badan. FOTO Ihsan PDRM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


WARGA emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh Perodua Viva yang diparkir di bahu jalan di Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis dekat Ulu Pauh, Arau malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa, Zainol Abdullah, 72, dari Kampung Baru, Ulu Pauh maut di lokasi akibat parah beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai tidak menyedari kereta itu lalu merempuh bahagian belakang.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:33 PM