Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Tun Dr Mahathir pada Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


PENGHIJRAHAN negara pada tahap lebih tinggi boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bagaimanapun konsep itu tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama.

“Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.

“Justeru dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah,” titah baginda pada Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.

Turut berangkat mencemar duli ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Tema sambutan kali ini ialah, ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ iaitu Islam agama rahmah yang mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan.

Pada masa sama, baginda bertitah, peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan yang wajar diteladani.

“Bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah sama-sama kita seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk sebuah negara maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.

“Kita jauh mengorak langkah membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat. Kemerdekaan negara adalah satu nikmat dan rahmat kurniaan Allah SWT.

“Sama-samalah kita memelihara nikmat dan rahmat ini buat bekalan kepada generasi akan datang.

“Saya dan Raja Permaisuri Agong ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah dan berdoa agar negara serta seluruh rakyat jelata sentiasa berada di bawah perlindungan Allah,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Al-Sultan Abdullah bertitah, sejak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu, Malaysia melalui pelbagai peristiwa penghijrahan amat menakjubkan.

“Negara melalui pembangunan fizikal pesat, peningkatan ekonomi mampan dan juga melalui kematangan landskap politik.

“Pada hemat saya, masih terdapat banyak ruang lagi untuk kita melakukan hijrah bersama-sama.

“Pengukuhan etika dan nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan.

“Ini kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti tinggi adalah penghijrahan yang tempang,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyokong usaha untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu maqasid syariah.

“Melalui pendekatan ini, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.

“Selain itu, gagasan idea ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap lebih tinggi.

“Konsep ini sudah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

“Islam ialah agama yang menyemai kasih sayang kepada makhluk Allah.

“Sifat ini perlu dipupuk dalam setiap jiwa anak watan agar keharmonian dan perpaduan antara semua rakyat di negara kita akan dapat dipelihara,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:25 PM