Fenomena air pasang besar yang melanda Kapar pada 2016. FOTO Arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


FENOMENA air pasang besar di kawasan persisiran pantai di beberapa daerah di Selangor hari ini masih terkawal dan tidak menjejaskan rutin harian penduduk.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, setakat 7.23 pagi tadi, ketinggian paras air laut adalah pada 5.5 meter.

“Hasil pemantauan dan maklumat yang diterima oleh agensi keselamatan berdasarkan Bacaan Jadual Air Pasang Besar Pelabuhan Klang, ketinggian paras air laut adalah 5.5 meter.

“Tiada limpahan melepasi benteng dikesan dan situasi berada dalam keadaan selamat serta terkawal.

“Selain itu, cuaca baik dan cerah,” katanya.

Sementara itu, di pesisir pantai Bagan Lalang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa lemas perempuan masih diteruskan.

“Seorang mangsa dijumpai dan diserah kepada polis pada 1.25 pagi tadi manakala seorang lagi mangsa masih belum dijumpai,” katanya.

Ahmad Fairuz turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Fenomena air pasang besar diramal berlaku pada 1 hingga 2 September, 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di persisiran pantai Selangor.

Fenomena itu membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Jika hujan lebat dan angin kencang berlaku, risiko banjir akan meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:08 AM