SULTAN Nazrin bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua pihak menghentikan tindakan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan tanpa berlengah dan undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga yang tidak berdosa, terjamin dan dilindungi.

“Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing, sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.

“Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar, dan kenderaan hangus dijilat api, suhu panas ini wajib segera diturunkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah, selepas 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, kebelakangan ini suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin lantang diucapkan.

Titahnya, suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semakin hari semakin dipanaskan, dilakukan oleh pemimpin politik daripada kedua-dua pihak, baik yang menang begitu juga yang tewas.

“Sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang selepas berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik, meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan warga.

“Perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara.

“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilaporkan dilakukan, antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan dakyah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW,” titah baginda.

Titah baginda lagi, sebahagian besar daripada perbuatan itu dilaporkan dilakukan kerana upah dan bara perkauman disemarakkan, api permusuhan antara agama pula semakin dinyalakan.

Baginda bertitah, setiap ungkapan dan perbuatan sedemikian sebenarnya adalah pemasangan satu bom jangka, yang menantikan masa untuk meletup.

“Kebenaran fakta dan kesahihan berita tidak lagi dipentingkan, di sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri, termasuk dalam kalangan terpelajar.

“Minda warga semakin diracuni, hinggakan warga menjadi terlalu taksub, semakin berminda tertutup.

“Setiap insiden, daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah, atau seorang majikan di pejabat, warna baju yang dipakai oleh pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama,” titah baginda.

Titahnya, keadaan itu amat tidak sihat kerana meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan.

Baginda bertitah, majoriti warga di negara ini cintakan keamanan dan mereka semakin resah, gelisah, bimbang dan takut tanpa mereka sedar serpihan daripada letupan bom jangka itu tidak mengenal mangsa, kesan daripada perbuatan mereka yang berfikiran singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:37 AM