Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KAKITANGAN Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Rosli Kamaruddin, 52, yang meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Yong Belar berhampiran Lojing, Gua Musang semalam dalam misi menawan tujuh puncak gunung tertinggi di Malaysia.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan dan Keselamatan USAS, Amiruden Mohamed Sharif berkata, sejak berada dalam perkhidmatan pada 2009 lagi, Allahyarham sudah beberapa kali terbabit dalam menjayakan ekspedisi pendakian dan misi kemanusiaan di luar negara.

“Arwah memang aktif dalam aktiviti luar dan tidak pernah ketinggalan untuk menjayakan mana-mana program USAS.

“Ekspedisi disertai semalam adalah Ekspedisi G7 yang juga program pertama anjuran USAS dalam misi menawan tujuh puncak gunung tertinggi di Malaysia,” katanya ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam itu, Pembantu Tadbir di Jabatan Akademik dan Kemasukan Rekod USAS dikatakan mengadu sesak nafas ketika mahu meneruskan pendakian ke puncak Gunung Yong Belar setinggi 2,180 meter sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham Rosli (berdiri empat kanan) bergambar kenangan sebelum memulakan pendakian Gunung Yong Belar manakala gambar kecil adalah arwah.

Aktiviti yang diadakan khusus bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 itu diketuai sendiri Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr Nordin Kardi bersama 20 kakitangan lain termasuk jurupandu.

Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan mangsa berjaya dibawa turun menggunakan helikopter dan tiba di HRPB 4.15 petang tadi untuk dibedah siasat.

Menurut Amiruden, pendakian berkenaan dimulakan 8 pagi semalam dan dijadualkan tiba di puncak gunung tengah malam hari ini.

“Kami hanya mendapat makluman kejadian 11 malam tadi selepas diberitahu jurupandu, kelewatan itu dipercayai disebabkan masalah liputan talian.

“Ia berita mengejutkan buat semua warga USAS dan kehilangan besar buat kami,” katanya.

Allahyarham Rosli meninggalkan balu, Sharifah Bee Mohamad Hussin, 50, dan tiga anak perempuan berusia 19, 18 dan 17 tahun.

Jenazah dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Batu 9, Chemor, Ipoh.

Berita berkaitan

Ajal ketika mendaki gunung

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:22 PM