GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PIAGAM antara UMNO dan PAS yang dijangka dimeterai 14 September ini tidak bermaksud PAS akan menyertai Barisan Nasional (BN), tetapi ia adalah satu permulaan baru dalam landskap politik negara.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, piagam itu kelak akan menjadikan BN hanya sebahagian kecil saja daripada kerjasama yang dijalinkan apabila adanya PAS dan parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Kerjasama ini adalah untuk kebaikan semua, bukan eksklusif untuk UMNO dan PAS, ia mesti dilihat secara nasional sebagai satu yang inklusif yang membabitkan semua pihak.

“Ia untuk kebaikan rakyat dan masyarakat bukan dalam bentuk pengasingan Islam dan bukan Islam ataupun Melayu dan bukan Melayu.

“Kami bukan berusaha untuk parti lain menyertai BN, jadi tunggulah 14 September ini kedua-dua Presiden Parti (UMNO dan PAS) akan jelaskan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2019 di Dataran Dewan Besar, Pekan Rabu, Sungai Manik, Pasir Salak, tengah malam tadi.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman selaku penganjur program serta beberapa pimpinan tertinggi UMNO dan PAS lain.

Annuar berkata, piagam itu bukan hanya sekadar memorandum persefahaman (MoU) antara dua parti tetapi ia adalah pelancaran politik baru kepada Malaysia untuk agenda nasional yang akan merangkumi semua segmen masyarakat dan rakyat secara keseluruhannya.

“Ini bukan kerjasama dua parti untuk menghadapi pilihan raya melalui piagam ini.

“Kesan kerjasama ini juga bukan hanya kepada parti tertentu termasuk MCA dan MIC kerana sekarang ini kita sudah kenal pasti kira-kira 10 parti politik yang akan bersama-sama memberi dokongan tetapi ia akan berlaku secara berperingkat dan UMNO hanya memulakan.

“UMNO dan PAS akan berhubung dengan semua parti dan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyambut usaha penyatuan ummah ini,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menjangkakan lebih 10,000 ahli PAS dan UMNO akan menyertai perhimpunan sempena pemeteraian piagam itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Walaupun kapasiti untuk tempat diadakan perhimpunan itu mungkin sekitar 3,000 saja, tetapi penganjuran selama dua hari itu menjadi hasrat kita untuk menarik seramai mungkin ahli kedua-dua parti dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Dalaman PWTC saja kita anggarkan 10,000 tetapi kita percaya program bermula daripada pagi 13 September hingga malam dan keesokan hari secara keseluruhannya dua atau tiga kali ganda jumlah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:13 PM