Gambar Nur Afeeya Raisha yang berpakaian jururawat tular di media sosial. FOTO Ihsan Intan Shafinaz Taharudin
Mary Victoria Dass
maryvictoriadass@hmetro.com


“SAYA tak sangka gambar Nur Afeeya Raisha, 2, yang dikongsi di Facebook (FB) tular hingga disukai lebih 5,000 netizen selain dikongsi hampir 2,000 pengguna media sosial,” kata jururawat, Intan Shafinaz Taharudin, 32.

Intan Shafinaz berkata, gambar anak bongsu daripada dua beradik itu dirakam sempena Sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan kerjaya di Taska Permata Kemas di Pengkalan Rinting, Tampoi Johor Bahru semalam.

Menurutnya, sudah menjadi keinginan Nur Afeeya Raisha untuk memakai pakaian berkenaan berikutan hampir setiap hari melihatnya dan suami memakai pakaian itu ke tempat kerja.

Katanya, dia dan suami berkhidmat dalam sektor perubatan yang mana suaminya, Abdul Rahman Abdullah, 37, adalah pembantu perawatan kesihatan.

“Ia mungkin memupuk minat anak kami untuk memakai baju berkenaan termasuk anak sulung perempuan, Nur Afina Raisha, 5.

“Nur Afeeya Raisha memang seronok, setiap pagi dia melihat kami menggunakan pakaian berkenaan dan dia juga mahu memakainya.

“Apabila pengurusan taska menganjurkan sambutan kemerdekaan bertema kerjaya, kami mengambil keputusan menempah baju jururawat untuk Nur Afeeya Raisha.

“Berikutan anak sulung saya bertubuh kecil dia juga berpeluang memakai baju itu sebelum Nur Afeeya Raisha

menggunakannya ketika hadir ke majlis sambutan kemerdekaan,” katanya.

Intan Shafinaz berkata, Nur Afeeya Raisha sanggup memakai baju berkenaan serta bertudung mulai 6.30 pagi hingga 3.30 petang.

“Menerusi penghayatan saya, kedua-dua anak kami berkongsi minat dalam bidang kejururawatan yang mana kami pasti akan memberi dorongan kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 2:10 PM