Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


“JERITAN jiran dan ketukan pintu bertalu-talu membuatkan saya dan dua anak perempuan terjaga daripada tidur.

“Dalam keadaan terpinga-pinga kami mendapati kawasan rumah kami sudah mula dijilat api sebelum saya dan anak-anak menyelamatkan diri.”

Pengalaman mendebarkan itu diceritakan Wong Cheung Yun, 48, apabila dia bersama dua anak perempuannya berusia 23 dan 20 tahun menyelamatkan diri sebelum rumah mereka hangus terbakar.

Katanya, ketika kejadian dia sudah tidur sebelum mendengar jiran mengetuk pintu dan menjerit meminta dia dan keluarga menyelamatkan diri.

“Saya tidak fikir menyelamatkan harta benda, saya hanya mahu lari tinggalkan rumah bersama anak-anak. Saya lega kami semua selamat dalam kebakaran ini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu restoran.

Kejadian 1.30 pagi itu menyebabkan 20 rumah kedai, 11 rumah dan sebuah perpustakaan musnah dalam kebakaran di Pekan Sungai Lembing, Kuantan, hari ini.

Kejadian turut menyebabkan pasangan suami isteri rentung dipercayai terperangkap di dalam rumah sebelum mayat mereka ditemui pihak berkuasa.

Difahamkan struktur bangunan rumah kedai dan kediaman yang musnah berusia lebih 100 tahun yang mana sebahagian besar diperbuat daripada kayu.

Bagi Lai Lin Soon, 58, sebaik berjaya keluar dari rumah dia cuba membantu memadamkan kebakaran bersama pasukan bomba sukarela.

“Ada jiran yang sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting dan ada yang lari menyelamatkan diri. Saya dan jiran lain tidak dapat membantu mangsa yang terperangkap kerana api terlalu marak dan keadaan berbahaya ketika itu,” katanya.

Dia yang mengusahakan restoran berharap kejadian itu mendapat perhatian pihak berwajib untuk menghulurkan bantuan.

Sementara itu, warga emas Liow Hong Ping, 79, berkata, apa yang penting dia bersama jiran lain selamat walaupun sedih rumah yang didiami sejak puluhan tahun lalu musnah dalam kebakaran.

“Buat masa ini saya tinggal di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing sementara menunggu bantuan yang akan disalurkan kepada kami. Saya harap kami dapat ditempatkan ke rumah lain selepas ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, operasi pemadaman digerakkan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Kuantan, Taman Tas dan Gebeng dengan kekuatan 67 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, api berjaya dikawal jam 3.45 pagi dan punca sebenar kebakaran masih lagi disiasat.

“Kita percaya api bermula dari rumah suami isteri yang ditemui rentung itu. Bagaimana kebakaran bermula masih lagi disiasat bahagian forensik kita,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suami isteri rentung

33 rumah, 19 kedai hangus

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 10:20 AM
KEADAAN kawasan yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. FOTO Farizul Hafis Awang