Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan supaya Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi penumpang penerbangan antarabangsa yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan lapangan terbang lain dikurangkan RM23 iaitu dari RM73 kepada RM50 berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Bagaimanapun, kadar PSC bagi penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula kekal RM73.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kadar PSC bagi penumpang sektor Asean dan domestik bagi semua lapangan terbang di Malaysia dikekalkan pada kadar RM35 dan RM11 masing-masing.

Beliau berkata, bagi penumpang yang membuat pembayaran PSC dan akan membuat penerbangan mulai tarikh tersebut, tuntutan bayaran balik boleh dibuat daripada syarikat penerbangan yang itu.

“Pangurangan ini diharap membantu merancakkan sektor pelancongan di negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, di samping menarik lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang seluruh negara.

“Kerajaan pada masa sama menerokai model kewangan seperti Regulated Assets Based (RAB) serta model pembiayaan yang lain dari semasa ke semasa bagi pembiayaan projek pembangunan lapangan terbang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, kadar PSC ini diperkenalkan menambah pendapatan kerajaan dan mengukuhkan dasar fiskal negara.

Pada sidang media sama, Loke berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan 54 barangan dikecualikan syarat lesen, permit atau lesen import bagi aktiviti kontena pindah kapal di dua pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Loke berkata, pengecualian itu berkuatkuasa dalam tempoh terdekat tertakluk kepada proses warta Jabatan Kastam.

“Pengecualian itu dibuat supaya pelabuhan Malaysia berdaya saing dan mengekalkan prestasi sebagai pelabuhan pindah kapal dunia dan pintu gerbang perdagangan yang kompetitif,” katanya.

Katanya, keputusan kerajaan dijangka menarik syarikat perkapalan antarabangsa untuk menggunakan pelabuhan Malaysia sebagai hab pindah kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 8:25 AM
ANTHONY Loke