Kelongsong peluru di lokasi kejadian dan (gambar kanan) polis menjalankan siasatan di kedai emas di Jalan Lapangan Terbang Off Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh yang cuba disamun hari ini. Foto Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


TERKEJUT diacukan senapang patah oleh pengawal keselamatan sebuah kedai emas di Jalan Lapangan Terbang Off Jalan Sultan Nazrin Shah di Ipoh, sekumpulan penjenayah cabut lari dan gagal menyamun premis berkenaan tengah hari ini.

Kumpulan penyamun bertopeng ski dan bersenjatakan pistol itu dipercayai lebih daripada dua orang dan menaiki sebuah Perodua Myvi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, dua daripada penjenayah terbabit dikatakan masuk ke dalam kedai emas berkenaan dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu dan seorang daripadanya kemudiannya melepaskan empat das tembakan ke dinding premis berkenaan.

“Ketika itu, dalam premis terbabit terdapat empat individu iaitu pemilik kedai emas, dua pekerja wanita dan seorang pengawal keselamatan yang bersenjatakan senapang patah.

“Sejurus selepas penjenayah terbabit melepaskan tembakan, pengawal keselamatan berusia 40-an bertindak mengacukan senapang ke arah kedua-dua suspek itu menyebabkan mereka terkejut dan terus melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek kemudiannya menaiki Perodua Myvi yang sedia menunggu di luar premis dan menuju ke arah Jalan Harilela, Taman Seri Rapat kira-kira 500 meter dari kedai emas terbabit.


Kereta yang dipercayai digunakan suspek ditinggalkan dan dibakar di Taman Seri Rapat, Ipoh hari ini. Foto Muhaizan Yahya

“Kumpulan penjenayah itu bertindak meninggalkan kereta dinaiki di jalan terbabit dan membakar kenderaan terbabit.

“Kereta berkenaan hanya terbakar di bahagian dalam susulan tindakan pantas penduduk di taman perumahan itu yang menghubungi polis dan bomba yang sempat memadamkan kebakaran.

“Semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Kuang, Selangor pada April lalu dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Anuar berkata, terdapat saksi melihat beberapa suspek melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran selepas membakar kereta berkenaan dengan berjalan kaki dipercayai menuju ke jalan besar.

“Tiada kecederaan dan kerugian dialami kedai emas terbabit kerana penyamun tidak sempat memecahkan cermin pameran barang kemas dan polis turut menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Polis sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan kumpulan penjenayah itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 4:57 PM