LING membuat rayuan hukuman mati yang diputuskan ke atasnya. FOTO L Manimaran.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


MAHKAMAH Rayuan di Kuching menetapkan 8 Oktober ini bagi keputusan rayuan wanita yang dihukum mati kerana bersubahat membunuh suaminya di Sibu, tujuh tahun lalu.

Ia diputuskan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Suraya Othman dan Datuk Wira Kamaludin Md Said dalam prosiding hari ini, sekali gus penangguhan keputusan buat kali kedua.

Zabariah yang mengetuai panel hakim berkata, mahkamah memerlukan masa meneliti hujahan tambahan membabitkan kronologi kes pembunuhan itu yang disifatkan kurang lengkap bagi pihaknya membuat keputusan.

“Tiada keputusan akan dibuat hari ini. Panel hakim perlukan masa untuk meneliti kronologi, fakta dan kesemua bukti bagi kes ini.

“Mahkamah memberi tempoh 14 hari bermula hari ini bagi pihak pendakwaan mengemukakan hujah,” katanya.

Pada 27 Oktober 2017, Mahkamah Tinggi Sibu menjatuhkan hukuman mati ke atas Ling Hang Tsyr, 38, selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui ketika itu berusia 31 tahun.

Perbuatan dilakukan di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu pada 1.30 pagi, 14 Jun 2012 dan dia didakwa melakukannya bersama teman lelaki, Andrew Tiong King Guan, 31, yang menghilangkan diri sejak 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, manakala Ling diwakili peguam Roger Chin dan Lim Heng Choo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 3:05 PM