Bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PELAJAR tahfiz lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di sungai belakang Istana Anak Bukit, Alor Setar hari ini.

Mangsa, Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, dipercayai tenggelam dan rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

Berikutan itu rakan mangsa menghubungi pasukan bomba untuk memaklumkan kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohammadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 2.42 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi 2.53 petang.

Beliau berkata, operasi disertai empat pegawai dan sembilan anggota.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra bersama sebuah bot penyelamat dari BBP Alor Setar turut diarahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammadul Ehsan berkata, setakat ini operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:45 PM