Mohamad Pajeri (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas PPM. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM6.07 juta dalam serbuan di kawasan sungai berdekatan Kampung Jepun, Batu 8, Sandakan malam tadi.

Dalam serbuan 11.30 malam itu, enam lelaki warga Filipina termasuk remaja berusia 13 tahun dipercayai ahli sindiket penyeludupan berjaya dicekup.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat hasil risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.

Katanya, ketika serbuan, kumpulan sindiket itu didapati sedang menjalankan aktiviti memunggah kotak rokok ke dalam dua van dipercayai untuk diedarkan ke pasaran.

“Ketika serbuan, semua suspek sibuk menyusun kotak rokok dan tidak menyedari kehadiran polis. Semua suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ribuan kotak rokok dipercayai diseludup ke negara ini untuk pasaran di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di Sandakan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6.07 juta selepas cukai termasuk dua van.

“Kita percaya semua enam suspek berusia lingkungan 13 hingga 56 tahun itu ahli sindiket penyeludupan rokok yang memiliki jaringan dari negara jiran.

“Tidak dinafikan wujud kegiatan penyeludupan kerana terdapat permintaan tinggi terhadap rokok seludup di daerah ini,” katanya.

Mohamad Pejeri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:59 PM