WAN Fikri (kiri) bersama Eng mengimpikan untuk bergelar chef satu hari nanti. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PEKAK tapi bercita-cita mahu menjadi usahawan bakeri berjaya. Itu cita-cita Eng Ching Ching yang sedang mengikuti kursus Sijil Asas Kulinari di Kolej Komuniti Selayang.

Eng, 21, berkata menjadi chef pastri adalah cita-citanya kerana minatnya mendalam dalam bidang masakan.

“Sejak sekolah saya minat belajar memasak, jadi saya cari kursus kulinari untuk OKU (orang kurang upaya) bagi mencapai cita-cita saya ini,” katanya kepada Harian Metro yang diterjemahkan Pensyarah Pendidikan Khas Asas Kulinari kolej itu, Fazlilawati Fadzil.

Eng yang juga anak sulung daripada lima beradik berasal dari Kuantan mengakui tidak mempunyai masalah menuntut di kolej itu kerana tenaga pengajarnya banyak membantu selain mahir berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat sesama mereka.

Walaupun cacat pendengaran, dia akan memastikan itu bukan penghalang untuknya mencapai cita-cita sebagai chef pastri satu hari nanti.

Sementara itu, rakannya, Wan Fikri Irfan, 20, berkata minat mendalam terhadap bidang masakan membuatnya memilih mendalami bidang itu.

Beliau yang mengalami OKU dalam pembelajaran (LD) juga bercita-cita mahu menjadi chef pastri.

“Impian saya ialah membuka sebuah kafe sendiri, memang saya belajar semua jenis masakan di sini tapi pilihan saya ialah pastri,” katanya.

Katanya, kursus itu adalah pilihannya sendiri kerana ia akan membantunya untuk mencapai hasrat membuka perniagaan kelak.

“Memang ini pilihan saya, bukan disuruh atau dipaksa sesiapa,” katanya.

Dalam pada itu, Fazlilawati yang mengajar di kolej itu sejak 2007 berkata, pelajar OKU akan mengikuti pengajian kursus teori dan praktikal selama 18 bulan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Katanya, Kolej Komuniti Selayang menawarkan pendidikan khas dalam usaha menyediakan golongan OKU dengan kemahiran perhotelan dan masakan bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

“Biasanya mereka akan ditawarkan bekerja sebelum habis tempoh pengajian lagi kerana benar-benar mahir dan kita menyediakan mereka dengan ilmu lengkap berkaitan bidang kulinari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:53 PM