Muhammad Yazurin memberi penerangan mengenai bas mini yang akan melakukan perkhidmatan percubaan mulai 1 September ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


RAPID Bus Sdn Bhd menafikan percubaan pengangkutan bas mini dilaksanakan syarikat itu di ibu negara membabitkan penggunaan bas ‘merah jambu’ yang popular pada era 70-an.

Ia berikutan penularan gambar bas itu di media sosial yang turut mendapat reaksi negatif netizen kerana disifatkan sebagai langkah terbelakang bagi menambah baik pengangkutan awam sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata, pihaknya masih dalam tempoh percubaan untuk menentukan jenis dan saiz sebenar bas mini itu.

“Menerusi percubaan perkhidmatan bas mini bagi laluan T300, kita akan menggunakan tiga bas bersaiz sepanjang lapan meter yang boleh memuatkan 27 penumpang.

“Bas itu nyata berbeza dengan bas mini ‘pink’ (merah jambu) sebelum ini yang bersaiz lebih pendek dan kecil.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak menggunakan bas seumpama itu dan akan mengenalpasti bas mini bersesuaian selepas berakhir tempoh percubaan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai Percubaan Perkhidmatan Bas Mini Rapid KL di Depoh Bas Rapid KL Maluri, Cheras hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Shamsul Rizal Mohd Yusoff dan Ketua Koordinasi Programnya Rahim Mahamud.

Harian Metro semalam melaporkan selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan laluan T300 dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 September hingga 29 November ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Yazurin berkata, pelaksanaan percubaan itu bagi mengenalpasti jumlah sebenar kapasiti penumpang di semua laluan termasuk kawasan taman perumahan.

“Ia turut menguji kesesuaian penggunaan bas itu di lokasi jalan sempit seperti di kawasan pangsapuri yang berkepadatan tinggi penduduk.

“Justeru tempoh tiga bulan itu digunakan bagi mengumpul data termasuk faktor kos dan tahap kepuasan pelanggan,” katanya memaklumkan kemungkinan memperluaskannya ke laluan lain jika menerima sambutan menggalakkan.

Orang ramai dialu-alukan memberi maklum balas mengenai perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:13 PM