Siti Juriah menemani Muhammad Zailani yang lumpuh di Kampung Limau Kasturi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


LIMA sekeluarga hidup susah selepas ketua keluarga lumpuh akibat terjatuh dari pokok tualang ketinggian 30 meter pada Jun 2014.

Desakan hidup menyebabkan mereka yang tinggal di Kampung Limau Kasturi di Gua Musang, terpaksa makan nasi berulamkan pucuk paku dan berkuah budu hampir setiap hari.

Siti Juriah Yusuf, 28, berkata, mereka berdepan masalah perbelanjaan selepas suaminya, Muhammad Zailani Shafien, 33, lumpuh dan tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan.

Katanya, suaminya terjatuh dari pokok tualang ketika mengambil madu lebah dan menyebabkannya patah tulang belakang hingga membawa kepada lumpuh daripada paras pinggang ke bawah.

“Saya terpaksa menerima hakikat suami lumpuh dan tidak boleh bekerja. Bagi menampung perbelanjaan, saya mengutip pucuk paku dalam paya di belakang rumah untuk makan tengah hari.

“Saya bersyukur kerana tiga anak tidak pernah merungut apabila setiap hari dihidangkan ulam pucuk paku bersama budu.

“Kami sudah biasa makan begitu dan hanya lebih penting ada duit saku untuk belanja di sekolah setiap hari. Namun, ada masanya anak ke sekolah tanpa membawa wang.

“Selebihnya saya akan jual dengan harga RM1 seikat bagi mendapat sedikit wang perbelanjaan.

“Saya tidak mempunyai kebolehan lain untuk mencari rezeki dan hanya dengan cara itu sahaja bagi membantu suami,” katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, setiap hari dia memperoleh pendapatan sekitar RM10 dan dapatlah beri kepada tiga anak berusia antara lima hingga 10 tahun untuk perbelanjaan sekolah.

Katanya, dia tidak malu untuk menceritakan kisah hidupnya yang betul-betul susah, namun cuba berusaha untuk memperoleh pendapatan.

“Kami ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sejak lima tahun lalu, tetapi ia banyak dibelanjakan untuk keperluan suami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi di talian 01126654137 dan akaun Bank Islam 03063020336174 atas nama Muhammad Zailani Shafien.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:01 PM