FOTO Hiasan
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 2,996 naskhah al-Quran dan Muqaddam bernilai RM65,382 dirampas dalam operasi berkala Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah dari Januari hingga Julai lalu.

Pengarahnya, Zaki Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan mensasarkan premis menjual buku termasuk gerai buku di kaki lima.

“Sedikit saja dirampas di pejabat pos yang mana al-Quran dan Muqaddam ini dirampas selepas didapati menggunakan tulisan rumi termasuk ada dicetak tidak mengikut Resm Uthmani seperti diguna pakai kerajaan Malaysia.

“Semuanya tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), kita harap umat Islam di Malaysia lebih berhati-hati membeli al-Quran kerana dibimbangi ia dibaca dengan bacaan salah seterusnya membawa makna salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, pihaknya akan melupuskan 3,098 al-Quran termasuk al-Quran digital, Muqaddam dan bingkai ayat suci berkenaan yang dirampas dari Disember 2018 hingga Jun lalu.

Katanya, pelupusan itu akan dilakukan dengan cara membakar secara tertutup sebelum abunya dilepaskan ke laut.

“Pelupusan ini dilakukan selepas mendapat kelulusan LPPPQ dan pusat pelupusan termasuk kita perlu meminta kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selain itu, kita turut mengharapkan orang ramai menghantar al-Quran yang mahu dilupuskan kepada PKK KDN supaya ia dapat dilupuskan mengikut kaedah digariskan dalam Islam, jangan ambil mudah kerana kita perlu mengikut adab menghormati kalam Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 9:30 PM