ROSMAN (kanan) melihat bot pukat jerut kelas C yang didakwa menceroboh zon menangkap ikan kira-kira lima batu nautika dari perairan laut Tanjung Karang. FOTO Siraj Mohd Zaini.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PADAM lampu bot serta buang hasil tangkapan ikan ke laut bagi menghilangkan bukti.

Itu taktik sekumpulan bot nelayan pukat jerut bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa ketika menangkap ikan di zon tidak dibenarkan kira-kira lima batu nautika dari perairan laut Tanjung Karang, Pelabun Klang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, tindakan tujuh bot nelayan kelas C itu tidak berhasil selepas bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan mereka dan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya menahan tujuh tekong dan 104 awak-awak yang terdiri daripada 11 warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

“Mereka ditahan itu berusia antara 23 hingga 51 tahun dan siasatan lanjut mendapati semua warga asing mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Selain itu, siasatan lanjut menemui sejumlah empat tan ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM48,000,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM di Pelabuhan Klang, hari ini.

Beliau berkata, semua bot pukat jerut dianggarkan bernilai hampir RM20 juta itu disita kerana melanggar beberapa kesalahan termasuklah Seksyen 8 Akta Perikanan 1985, Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ketika dikesan bot ronda PPM, ada di antara mereka yang cuba melarikan diri dan memadamkan lampu bot, malah ada yang membuang hasil tangkapan ke dalam laut bagi melupuskan bahan bukti.

“Namun bot ronda PPM dilengkapi peralatan seperti radar mampu mengesan bot mereka yang berada kira-kira satu batu di antara satu sama lain di perairan laut berkenaan,” katanya.

Rosman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan pencerobohan zon dilakukan bot kelas C kerana akan menjejaskan pendapatan bot lebih kecil.

Beliau berkata, zon tangkapan ikan bagi bot kelas C adalah 15 batu nautika ke atas dan tindakan dilakukan mereka menceroboh zon bagi bot kelas A dan B yang lebih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 4:44 PM