Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


BEKAS pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) berdiri hampir sejam dalam kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini bagi mendengar 146 pertuduhan ke atasnya membabitkan kesalahan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah lebih RM2.4 juta.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di Melaka melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta terbabit apabila dengan curangnya menyalahgunakannya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh secara berperingkat antara 23 Januari 2017 sehingga 21 Disember 2018 membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.404 juta.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat dan Nik Haslinie Hashim mencadangkan jumlah jaminan RM500,000 dikenakan kepada tertuduh dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM.

Tertuduh yang diwakili peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi, Kenneth Kassa dan Ahmad Hafiz A Bakar merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu perlu menanggung ibu dan bapa yang sudah tidak bekerja selain adik yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 bagi 146 pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohd Nasir juga memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai serta menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.

NSTP 12 Januari lalu melaporkan, bekas pembantu tadbir TAPEM ditahan reman SPRM negeri bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan wang biasiswa dianggarkan RM2.5 juta.

Lelaki berusia 31 tahun itu direman empat hari hingga 14 Januari lalu selepas perintah dikeluarkan Majistret Analia Kamarudin di Mahkamah Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 3:09 PM