BERNAMA

ZOO Melaka menerima seekor Harimau Putih Bengal betina bernama ‘Elsa’ menerusi kerjasama strategik dengan Sunway Lagoon Wildlife Park.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim berkata, harimau berusia satu tahun sembilan bulan seberat 100 kilogram akan menjadi ikon terbaharu Zoo Melaka dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke zoo berkenaan yang berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Beliau berkata, buat permulaan Elsa akan dikuarantin sebelum dilepaskan untuk pameran umum pada minggu Hari Malaysia bermula 14 September depan.

“Zoo Melaka melalui MPHTJ menjalin kerjasama strategik bukan sahaja dengan Sunway Group tetapi pelbagai zoo di Malaysia dan Asia Tenggara bagi membawa lebih banyak haiwan baharu ke Zoo Melaka dalam usaha menjadikan zoo ini sebagai salah satu ikon pelancongan negeri.

“Ketibaan Harimau Putih Bengal baka India ini diharap dapat merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2019 bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama pada musim cuti sekolah pada akhir tahun ini,” katanya selepas majlis menyambut ketibaan haiwan itu di Melaka, malam tadi.


GAMBAR hiasan.

Turut hadir Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Mohd Rafee berkata, menerusi kerjasama itu, Zoo Melaka menyerahkan seekor zirafah betina bernama Mercy berusia kira-kira setahun ke Petting Zoo, Lost World Of Tambun (LWOT) Theme Park bagi tujuan pembiakan dan serta seekor ungka tangan putih dan Brown Capuchine ke Sunway Lagoon Wildlife Park.

Sementara itu, beliau berkata, Zoo Melaka akan cuba mendapatkan seekor harimau putih jantan menerusi kerjasama strategik bersama Batu Secret Zoo di Surabaya, Indonesia bulan depan.

Katanya sebagai pertukaran, Batu Secret Zoo ingin mahu seekor Harimau Malaya jantan kerana mereka tiada spesis itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Zoo Melaka kini mempunyai 183 spesis haiwan dan sembilan lagi haiwan baharu daripada pelbagai spesis akan diterima menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

“Antara haiwan baharu dijangka diterima di Zoo Melaka termasuk singa jantan dan betina, badak air, seladang, tapir, gajah dan burung merak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:42 AM