KERETA Toyota Camry yang digunakan suspek
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Rancangan jahat tiga lelaki ahli Geng Tebuk memecah masuk sebuah kilang berakhir dengan tragedi apabila semua mereka maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan Perindustrian Ringan Alma, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, semua penjenayah warga asing berusia 20 hingga 30-an itu maut di lokasi kejadian selepas terkena tembakan di beberapa anggota badan.

Difahamkan, semua suspek sebelum itu dikesan anggota polis yang meronda di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan sedang ‘menebuk’ pintu belakang sebuah kilang.

Bagaimanapun, mereka yang menyedari kehadiran anggota polis cuba melarikan diri menggunakan kereta Toyota Camry namun terbabas ke bahu jalan 50 meter dari kilang yang mahu dipecah masuk itu.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran berkata, menyedari mereka terperangkap suspek terus keluar dari kereta dan melepaskan tembakan selain mahu menyerang anggota polis menggunakan parang.


SEPUCUK pistol jenis 38 colt dan peluru hidup yang dirampas.

DUA mesin pencanai, dua parang dan alat pemotong besi yang dirampas.

“Bagi mempertahankan diri anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah semua penjenayah terbabit yang kemudian maut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian polis menemui dan merampas sepucuk pistol .38 Colt bersama empat peluru hidup dan dua kelongsong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Narenasagaran berkata, polis turut menemui dua parang serta pelbagai peralatan untuk melakukan pecah kilang iaitu dua mesin pencanai, empat sarung tangan, 10 mata pencanai dan masing-masing satu alat pemotong besi serta besi kuku kambing.

“Siasatan mendapati semua suspek dipercayai warga asing namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

“Kumpulan penjenayah ini dikesan menyasarkan kilang untuk memecah peti keselamatan sebelum melarikan wang tunai yang disimpan di dalam pejabat premis terbabit,” katanya.

Polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun dan pecah kilang di negeri ini yang membabitkan kerugian mencecah RM620,000 sejak tahun lalu dengan tertumpasnya semua penjenayah terbabit.

Difahamkan, Geng Tebuk ini berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengelak kegiatan mereka dihidu polis dan menggunakan kekerasan selain tidak teragak-agak bertindak kejam kepada sesiapa yang cuba menghalang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:00 AM