Yahya bersama Komander Operasi Kebakaran Mohd Faizul Selamat (kiri) menunjuk gambar kebakaran hutan di Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang di Bilik Operasi JBPM Johor di Balai Raya Tanjung Adang, Gelang Patah. Foto Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


TINDAKAN penceroboh tanah kerajaan untuk pertanian, melakukan pembakaran tanpa kawalan dipercayai punca kebakaran hutan tanah gambut seluas 16 hektar di Gelang Patah sejak minggu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis berkata, siasatan awal pihaknya percaya punca kejadian itu akibat aktiviti pembersihan kebun di kawasan berhampiran.

Menurutnya, berdasarkan kesan ditemui di lokasi, pihaknya percaya ada individu pembakaran terbuka dengan niat membersihkan kawasan kebunnya.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, kami dapati kejadian berlaku disebabkan pembakaran sebelum api merebak ke kawasan itu.

“Malangnya, agak sukar untuk mengesan individu berkenaan kerana kejadian berlaku di tanah kerajaan negeri dan kami percaya ia diceroboh untuk tujuan pertanian.

“Walaupun dalam keadaan cuaca (kemarau) ketika ini, agak sukar untuk kebakaran berlaku sendiri,” katanya selepas meninjau pusat operasi memadam di Dewan Kampung Pekajang hari ini.

Berikutan itu, Yahaya berkata, pihaknya minta orang ramai menghulurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang dikesan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Alam Sekitar.

“Kami mengharapkan kerjasama semua pihak mengambil tindakan awal menghubungi kami (bomba) sekiranya mengesan pembakaran terbuka bagi mengelak api merebak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 11:18 PM