Tangkap layar mesej antara individu yang menyamar dengan rakan mangsa.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


HATI-HATI apabila berkongsi berita sedih membabitkan kematian ahli keluarga atau sedang sakit kerana setiap hantaran di media sosial dipercayai diperhatikan pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi.

Ada pihak tidak bertanggungjawab dipercayai akan menggunakan gambar profil seseorang untuk meminta wang daripada orang lain untuk mendapatkan wang secara mudah sebagai modus operandinya.

Pihak berkenaan akan menjadikan kenalan kepada pemilik gambar profil berkenaan sebagai sasaran dengan mendakwa kononnya berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang untuk menguruskan jenazah keluarga yang baru saja meninggal dunia.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil yang menerima aduan mengenai pihak cuba mengambil kesempatan daripada seorang lelaki yang kematian abangnya kerana penyakit kanser, baru-baru ini.

Menurutnya, ia sudah menjadi seperti satu trend apabila ada pihak ketiga yang memantau semua hantaran pemilik Facebook dan akan menghantar WhatsApp menggunakan gambar ahli keluarga untuk meminta wang daripada kenalan kononnya dalam keadaan terdesak.

“Kita juga terkejut bagaimana mereka ini sanggup mengambil kesempatan ketika jenazah ahli keluarga baru saja dikebumikan, mesej dihantar untuk meminta wang daripada kenalan kononnya untuk pengebumian.

“Ia adalah satu perbuatan yang tidak berhati perut,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Siraj berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati wujud persamaan di dalam beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini iaitu jumlah wang yang diminta antara RM1,000 hingga RM1,900 selain gaya penulisan.

Menurutnya, mereka juga akan merujuk kepada kenalan lain bagi meyakinkan mangsa bahawa dia adalah individu sebenar walaupun menggunakan nombor baru.

“Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa saja. Jadi kita minta orang ramai berhati-hati terutama apabila menerima WhatsApp daripada nombor tidak dikenali menggunakan gambar profil rakan-rakan kerana wujud pihak lain sedang memerhatikan tindak-tanduk kita,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Hafiz Said, 29, mendakwa dia terkejut apabila menerima kiriman WhatsApp daripada lima orang rakan yang bertanyakan mengenai mesej diterima mereka daripada satu nombor tidak dikenali menggunakan gambarnya.

Menurutnya, penghantar mesej itu meminta wang berjumlah RM1,800 dan RM1,900 untuk membiayai pengurusan jenazah abangnya.

Katanya, dia langsung tidak menyangka ada pihak mengambil kesempatan di atas kesedihan keluarga selepas kehilangan abangnya yang menderita kanser paru-paru dengan menyamar sebagai dirinya merayu sumbangan.

“Saya tidak tahu bagaimana orang itu ada nombor kenalan saya. Untuk urusan pengkebumian, kami ada wang dan tidaklah sampai perlu meminta-minta.

“Nasib baik pada hari yang sama, ada rakan-rakan tanya saya mengenai perkara itu kerana mereka pelik dengan gaya penulisan yang digunakan.

“Sampai satu tahap, orang itu menggunakan bahasa kasar menyebabkan rakan-rakan saya yakin, gambar saya digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya kemudiannya muat naik hantaran di Facebook dan menjelaskan kemungkinan ada pihak lain mengambil kesempatan atas kesedihan keluarga saya.

“Ramai yang memberikan komen bersimpati dengan apa yang berlaku dan saya harap perkara ini tidak berterusan atau terjadi kepada orang lain.

“Justeru, saya merujuk kes ini kepada MCCA untuk tindakan lanjut dan sedang mempertimbang untuk membuat laporan polis,” katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro semalam melaporkan Pengerusi Keilmuan Nasional (KN) Zambri Mohd Isa yang terkejut menerima panggilan daripada rakan-rakan bertanyakan khabarnya selepas mereka menerima kiriman WhatsApp kononnya daripada dia yang meminta sejumlah wang kerana terdesak.

Namun, ia disedari rakan-rakan yang menghubunginya untuk mendapatkan kepastian sama ada ia adalah mesej tulen atau sebaliknya kerana nombor telefon berkenaan bukan yang digunakan Zambri sebelum ini.

Berita berkaitan

'WhatsApp rakan saya, minta duit'

'Ada orang salah guna gambar saya'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:34 PM