Gambar hiasan
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


WANITA dari Seberang Takir, Kuala Nerus mengalami kerugian RM224,700 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam dengan menyamar sebagai pegawai polis pada Julai lalu.

Mangsa berusia 58 tahun itu didakwa oleh ‘pegawai polis’ itu dengan mendakwa mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita sewaktu berada di kediamannya di Seberang Takir pada 8.45 pagi, 23 Julai lalu.

Katanya, wanita terbabit memaklumkan mangsa disyaki terbabit dengan penggubahan wang haram dan memintanya memberikan kerjasama untuk membantu siasatan.

“Wanita itu kemudiannya menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang didakwa adalah pegawai penyiasat yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Zahari.

“Lelaki terbabit memaklumkan mangsa dikehendaki polis kerana didapati bersubahat dengan seorang suspek yang ditahan berhubung pengubahan wang haram.

“Suspek minta mangsa membuat sejumlah pembayaran sekiranya ingin menyelesaikan kes itu selain diberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa jika tidak mahu ditahan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang bimbang ditahan polis kemudiannya membuat bayaran kepada individu berkenaan menerusi 58 transaksi di sebuah bank bermula 23 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Menurutnya, wang sebanyak RM224,700 itu dipindahkan oleh mangsa ke enam akaun bank tempatan bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi menyebabkan wanita terbabit mula curiga sebelum semakan mendapati dia ditipu sindiket Macau Scam.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 9.51 pagi, Ahad lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti serta mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 4:44 PM