RODNEY Pasla (berbaju putih) memeriksa aplikasi dan laman sesawang judi dalam talian yang dianjurkan sindiket terbabit.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KAJANG: Ditawarkan bekerja sebagai penyelia teknologi maklumat (IT) mendorongnya untuk masuk ke Malaysia.

Itu dakwaan seorang lelaki warga China berusia 29 tahun yang ditahan bersama 35 individu lain termasuk enam wanita dalam serbuan Operasi Judi Online (Op JOL) di banglo dua tingkat di Batu 9 Cheras, di sini, kelmarin.

Lelaki terbabit mendakwa dia baru saja datang ke Malaysia dua hari lalu selepas tertarik tawaran kerja sebagai penyelia IT ditawarkan rakannya dari China.

“Namun sebaik tiba di sini, saya mendapati kerja ditawarkan berlainan. Saya diminta mengendalikan urus niaga judi dalam talian di rumah ini.

“Sepanjang tempoh dua hari bekerja, saya tidak dimaklumkan jumlah bayaran gaji yang akan diterima, namun segala kelengkapan kami seperti tempat tidur dan makan minum disediakan dalam rumah ini,” katanya ditemui di lokasi serbuan, kelmarin.


RODNEY Pasla (kiri) memeriksa tempat tidur pekerja terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Rodney Pasla Haris melakukan serbuan di lokasi berkenaan, jam 9.30 malam.

“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek terbabit leka menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Pemeriksaan lanjut di banglo berkenaan berjaya menahan 29 lelaki dan enam wanita China berusia 19 hingga 60 tahun yang bekerja sebagai pengendali urus niaga judi dalam talian di pusat judi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap komputer riba dan telefon bimbit suspek yang dirampas menemui pelbagai aplikasi dan laman sesawang judi dalam talian dianjurkan sindiket terbabit.

“Siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai aktif melakukan penganjuran judi dalam talian sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan kediaman mewah berkenaan sebagai pusat operasi.


PEKERJA dilengkapi komputer riba bekerja dalam kediaman mewah.

“Pemeriksaan mendapati semua suspek mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah atas pas lawatan sosial,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut merampas 25 komputer riba, 12 telefon bimbit dan dua modem pelayaran Internet dalam serbuan itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian diminta tampil menyalurkannya kepada polis atau balai berhampiran.

“Kerjasama orang ramai amat membantu polis dalam membasmi kegiatan ini secara total dan menyokong hasrat kerajaan serta kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti judi dalam talian,” katanya.


ANTARA individu yang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:20 AM