Laporan portal Harian Metro mengenai kehilangan Habibuneesa di India.
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

TUKANG paip mendakwa dihubungi oleh seorang lelaki meminta wang tebusan RM10,000 jika mahu isterinya, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di India sejak 29 Jun lalu dibebaskan dengan selamat.

Mahmud Rahman Shariff, 47, berkata, dia menerima panggilan telefon itu pada 12.30 tengah malam semalam daripada seorang lelaki yang mendakwa mengurung Habibuneesa di satu lokasi di negara itu.

Menurutnya, lelaki itu turut memintanya mengirimkan pasport Habibuneesa selepas isterinya itu hilang sehelai sepinggang serta tiket kapal terbang untuk wanita itu pulang ke Malaysia.

Pada masa sama, katanya, lelaki itu turut meminta agar laporan polis mengenai kehilangan Habibuneesa yang sudah dibuat di Pandaravadai, India, sebelum ini ditarik balik.

Katanya lagi, lelaki itu memberitahu akan menghantar Habibuneesa ke Pejabat Konsul Malaysia di Chennai, India, sebaik sahaja semua permintaan itu dipenuhi.

“Untuk memastikan betul-betul lelaki itu sedang menahan isteri saya, maka saya minta peluang hendak bercakap dengan Habibuneesa.

“Saya dapat bercakap dengan isteri yang memberitahu dikurung dalam bilik dan sekarang dalam keadaan tidak sihat tetapi belum sempat saya nak bercakap lebih panjang, telefon itu dirampas oleh lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Behrang hari ini.

Berikutan itu, Mahmud membuat laporan di Balai Polis Behrang Stesen kira-kira 10 malam hari yang sama serta menghantar salinan laporan polis itu kepada Kementerian Luar, Kedutaan India di Malaysia dan pejabat Polis Antarabangsa (INTERPOL) Malaysia di Bukit Aman.

Mahmud berkata, kini dua buntu menghadapi situasi berkenaan dan tidak tahu bagaimana untuk memenuhi permintaan lelaki yang tidak dikenali itu.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu mencari wang untuk membebaskan isteri saya, sedangkan duit tiket kapal terbang (Habibuneesa ke India) pun terpaksa meminjam daripada beberapa orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dibuat Mahmud.

Menurutnya, maklumat itu diserahkan kepada Kedutaan India untuk tindakan lanjut.

Habibuneesa disedari hilang ketika berada di rumah saudaranya di Pandaravadai, Papanasam di Tamil Nadu, India kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

Suri rumah itu dikatakan ke India bersama ibu saudaranya yang dikenali sebagai Nur Jihan, 38, dan sepupunya, Yunus Shukri, berusia empat tahun pada 24 Jun lalu sebelum dilaporkan hilang di negara berkenaan lima hari kemudian.

Berikutan kejadian itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghubungi polis negara itu menerusi INTERPOL untuk menyegerakan tindakan mencari dan menyelamat Habibuneesa.

Berita berkaitan

Rintih si anak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 10:10 PM