Mesej WhatsApp individu minta pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang wanita. (Gambar kanan) Zambri.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


BELUM reda isu ‘doxing’ membabitkan ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan, seorang lagi aktivis masyarakat menjadi mangsa apabila gambar profil miliknya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk meminta wang.

Kali ini, ia membabitkan Pengerusi Keilmuan Nasional (KN) Zambri Mohd Isa yang terkejut menerima panggilan daripada rakan-rakan bertanyakan khabarnya selepas mereka menerima kiriman WhatsApp kononnya daripadanya yang meminta sejumlah wang kerana terdesak.

Menurutnya, kejadian berlaku pada Sabtu lalu ketika dia berada di rumah apabila seorang kenalan menghubunginya bertanyakan hal berkenaan dan pelik kerana dia menggunakan nombor telefon lain.

“Saya tidak pernah menggunakan nombor lain selain yang sedia ada. Tiba-tiba ada individu lain menggunakan gambar yang diambil daripada Facebook saya meminta wang berjumlah RM1,900 kononnya perlu segera sedangkan saya tidak tahu menahu.

“Mujurlah rakan saya itu adalah kenalan rapat dan dia terus hubungi saya untuk kepastian.

“Selepas dia menjawab bahawa dia perlu semak akaun di bank, individu terbabit terus menyekat nombornya,” katanya kepada Harian Metro.

Zambri berkata, individu berkenaan menggunakan talian 014-2769913 dan meminta wang itu dimasukkan ke akaun BSN atas nama Puan Hajah Julia selain meletakkan ZambriPayment sebagai rujukan.

Menurutnya, dua rakannya menerima WhatsApp serupa daripada nombor talian yang sama dan dia juga hairan bagaimana individu itu mempunyai nombor mereka.

“Jadi saya minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis menyiasat isu ini kerana bimbang ia akan menjadi fitnah selain menjejaskan imej seseorang.

“Bagaimana jika yang menerima WhatsApp ini ibu bapa kita di kampung yang tidak tahu bahawa ini satu bentuk penipuan, sudah pasti mereka terpedaya,” katanya.

Harian Metro pada 21 Julai lalu melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Kedah Datuk Norsabrina Mohd Noor menjadi mangsa apabila gambar Facebook miliknya digunakan pihak tertentu untuk menghantar mesej kepada kenalannya meminta sejumlah wang kononnya terdesak untuk membuat pembayaran kepada orang lain.

Selain itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Zulhanis Zainol juga menjadi mangsa kegiatan serupa baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima lebih 20 aduan isu ‘doxing’ dalam tempoh tiga bulan lalu dan ia seolah-olah kegiatan mudah kerana tiada tindakan diambil.

Menurutnya, MCCA menggesa tindakan penguatkuasaan oleh SKMM dan juga CyberSecurity Malaysia bagi mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia berisiko kepada semua pengguna media sosial.

“Setakat ini, kita tak nampak ketegasan dalam isu ini. Jadi saya harap pihak berwajib bertindak segera sebelum lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 8:59 PM