FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PADAH memiliki gambar bogel bekas teman wanita yang dirakam dalam telefon bimbit miliknya, pekerja hotel didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Majistret Muhammad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Faris Abd Aziz, 22, selepas dia mengaku bersalah sebaik tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit jenis Oppo F7 miliknya, pada 9 malam 7 Ogos lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah D11, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Dakwaan kes terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukumannya atas alasan dia sudah insaf dan itu kesalahan pertamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid memohon hukuman berbentuk pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

Difahamkan, satu laporan polis dibuat oleh bekas teman wanita tertuduh yang mendakwa lelaki itu ada merakamkan gambar bogelnya di sebuah hotel.

Berdasarkan laporan polis itu, polis menahan tertuduh dan pemeriksaan dijalankan menemui telefon bimbit yang mengandungi gambar lucah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:48 PM