Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


POLIS Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali merampas musang dan kura-kura bernilai RM19,000 dalam Ops Landai di tepi Sungai Semerak berhampiran Jeti Tamansara Sdn Bhd di Pasir Puteh semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Kuantan, Pahang, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam serbuan 11 pagi itu pihaknya merampas 90 ekor musang dan 14 ekor kura-kura hasil maklumat orang ramai.

Katanya, semua haiwan itu diletakkan dalam sangkar dan disembunyikan di semak sebelum ditemui pihaknya dan tangkapan itu adalah terbanyak tahun ini.

“Hasil risikan, haiwan ini dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar makanan eksotik di Thailand dan Vietnam.

“Tidak ada tangkapan dibuat kerana tiada individu mengaku pemilik selepas beberapa jam kami merampas haiwan itu.

“Mereka menggunakan modus operandi dengan mendapatkan bekalan daripada penduduk setempat, mengumpul dan menyorokkan haiwan di suatu tempat sebelum menyerahkan kepada penyeludup untuk dibawa melalui jalan laut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga, Tok Bali hari ini.

Norzaid berkata, haiwan yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan dan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Berdasarkan maklumat yang kita dapat harga pasaran bagi seekor musang adalah RM200 manakala kura-kura RM14 untuk satu kilogram.

“Kami komited mengekang aktiviti penyeludupan haiwan eksotik dan sentiasa bekerjasama dengan PERHILITAN serta mempergiatkan operasi di kawasan perairan yang berdekatan sempadan,” katanya.

PPM memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian 09 5137726.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 2:19 PM
Norzaid (kiri) menunjukkan musang dan kura-kura yang dirampas semalam. FOTO Zaman Huri Isa
Skip this ad x