KEADAAN mayat yang ditemui di hutan bakau berhampiran Kampung Bahru, Kukup, Jumaat lalu. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki
cnews@nstp.com.my


MENEMUI mayat dalam keadaan kepala dan badan terpisah di dalam hutan bakau.

Itu pengalaman ngeri dilalui pencari ketam, Norhisyam Atan, 38, yang secara tidak sengaja terserempak mayat manusia di hutan bakau berhampiran Kampung Bahru, Kukup di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 5.08 petang, dia segera menghubungi polis Balai Polis Permas, Kukup.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan mendapati mangsa dikenal pasti sebagai Md Nazura Md Nasruddin, 40, berstatus duda dan berasal dari Kampung Sungai Durian Kukup.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis mendapati kepala mangsa tergantung pada tali yang masih terikat di dahan pokok bakau.

Bagaimanapun tubuhnya sudah terputus dari badan dan ditemui dalam keadaan tertiarap di bawah pokok itu. Tubuh mangsa sudah membusuk dan berulat,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat dilakukan jam 9.30 pagi semalam di Hospital Pontian.

“Punca kematian masih disiasat dan kejadian dipercayai berlaku lebih kurang seminggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:31 AM