MOHAMED Sharif (duduk tengah) bersama kakitangan KPJ Pasir Gudang pada majlis sambutan kemerdekaan ke-62, semalam. FOTO Fathin Suhaira Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“ADA segelintir rakyat Malaysia sekarang tidak kenal sejarah, buta sejarah,” demikian luahan kecewa Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam, 82, sempena Sambutan Kemerdekaan ke-62 di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang di sini, semalam.

Beliau adalah antara tiga individu diberi tanggungjawab menaikkan Bendera Malaya pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Susulan itu dia boleh dianggap antara rakyat Malaysia paling mencintai dan menghormati Jalur Gemilang.

Sifat keprihatinannya itu jelas dilihat apabila Mohamed Sharif mengutip Jalur Gemilang kecil yang ditinggalkan di atas meja kopi selepas sidang media selesai.

Mohamed Sharif berkata, punca utama rakyat Malaysia tidak menghormati Jalur Gemilang atau tidak mempunyai semangat patriotik adalah kerana tidak mengenali sejarah.

“Rakyat Malaysia sekarang ini, tidak kenal sejarah, buta sejarah. Kalau kenal sejarah, mereka tahu (hormat atau bersemangat patriotik). Bila tak kenal (sejarah), habislah. Jiwa kosong, jiwa merdeka kosong.

“Sebab itu ada yang pasang bendera pun terbalik. Ada bendera pun diwarnakan hitam. Sebab tidak kenal sejarahlah,” katanya yang dijemput bagi sesi perkongsian sempena sambutan kemerdekaan di hospital berkenaan.

Ditanya mengenai semangat sambutan kemerdekaan masa kini, Mohamed Sharif berkata, ia amat berbeza berbanding zaman dahulu.

Malah rakyat kini hanya menganggap cuti 31 Ogos hanya sebagai cuti umum sahaja.

“Kalau sambutan merdeka itu sama sahajalah, tetapi soal semangat sambutan kemerdekaan itu jauh berbeza.

“Orang dulu semangatnya berkobar-kobar kerana susah payah nak dapatkan kemerdekaan itu masih segar dalam ingatan.

“Kita tahu apa yang kita perlu korbankan untuk merdeka, tetapi orang sekarang, mereka tidak nampak semua itu. Mereka lupa. Lahir dan hidup sahaja dah pun senang,” katanya.

Katanya, kebanyakan generasi kini tidak merasai perubahan dari susah kepada senang kerana semuanya sudah berkeadaan baik sejak dilahirkan.

“Sekarang ini, nak pasang bendera pun susah. Kalau ada 100 rumah, lima sahaja yang pasang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:01 AM