ROHANA menunjukkan kesan retak di lantai rumahnya. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


“SAYA sudah berhabis kira-kira RM30,000 untuk membaiki keretakan rumah yang mendap berpunca akibat projek pembinaan pangsapuri sejak empat tahun lalu,” kata penduduk Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir, Rohana Yaakub.

Peniaga berusia 40 tahun itu mendakwa, masalah terbabit berlarutan sejak mereka mula mendiami rumah semi D setingkat pada 2015.

Katanya, episod hitam 100 penduduk bermula sebaik sahaja pembinaan pangsapuri di hadapan kawasan perumahan mereka bermula pada tahun sama.

“Sejak itu, kami terpaksa berdepan dengan masalah debu pasir akibat aktiviti pembinaan projek sebelum merebak kepada dinding retak dan mendapan lantai.

“Semua penduduk menghadapi masalah serupa dan terpaksa berbelanja antara RM2,000 hingga RM30,000 untuk membaiki kerosakan sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk lain, Saadiah Yusof, 72, berkata, dia berbelanja lebih RM15,000 untuk membaiki kerosakan jubin, sistem perpaipan dan keretakan lantai yang mendap akibat projek pembinaan pangsapuri sembilan tingkat itu.

“Mendapan menyebabkan terbentuk ruang sehingga satu sentimeter antara lantai serta dinding dan kembali mendap walaupun sudah beberapa kali dibaiki.

“Ruang itu pula dibimbangi menjadi sarang haiwan berbisa seperti lipan dan ular menyebabkan nyawa penduduk terdedah kepada risiko diserang haiwan berbisa,” katanya.

Penduduk, Redzuan Baharin, 33, merayu kerajaan negeri membantu mereka menyelesaikan masalah itu yang didakwa tidak mendapat pembelaan kerajaan terdahulu.

“Kami belum lagi bersemuka dengan pemimpin untuk menceritakan masalah ini, tetapi akan berbuat demikian ketika majlis perasmian pangsapuri berkenaan kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 4:45 AM