BEKAS murid SKPCT, Kuala Terengganu kumpulan 1986 hingga 1991 berkumpul pada Program Alumni SKPCT 1986-1991. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


SELEPAS 28 tahun terpisah, bekas murid Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga (SKPCT) kumpulan 1986 hingga 1991 berkumpul semula melalui Program Alumni SKPCT 1986-1991, di Kuala Terengganu, semalam.

Perjumpaan 30 bekas murid SKPCT di Dewan Mujahidah SKPCT itu turut diraikan Guru Besar SKPCT, Abdul Razak Embong dan bekas guru yang mengajar murid kumpulan 1986 hingga 1991.

Pengerusi program, Tengku Arhaizad Tengku Anuar berkata, program terbabit dilaksanakan hasil perancangan beberapa bekas pelajar yang mengatur perancangan sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, program terbabit dilaksanakan dengan meriah hasil komitmen ahli jawatankuasa dibentuk menerusi kumpulan WhatsApp.

“Mereka hanya bermesyuarat menerusi Whatsapp saja untuk merancang program terbabit.

“Alhamdulillah walaupun tidak semua dapat sertai majlis julung kali diadakan selepas 28 tahun meninggalkan alam persekolahan, tetapi kami masih dapat meneruskan program ini dan berharap ia akan menjadi titik mula kepada program lebih bermanfaat pada masa akan datang.

“Program itu antara lain mahu merapatkan semula ukhuwah pernah terjalin di zaman kanak-kanak supaya dapat berterusan ke akhir hayat.

“Bagaimanapun, ramai yang terputus hubungan kerana komitmen kerja dan berkeluarga serta tinggal di luar Terengganu,” katanya.

Tengku Arhaizad berkata, dia bersama beberapa rakan menjejaki semula rakan lama di media sosial seterusnya berkongsi nombor telefon di dalam Kumpulan WhatsApp untuk menganjurkan program itu.

“Kami sangat bertuah kerana Guru Besar SKPCT, Abdul Razak Embong dan bekas guru yang mengajar murid kumpulan 1986 hingga 1991 turut hadir pada program berkenaan.

“Pertemuan itu sungguh dramatik kerana mengimbau semula pengalaman lalu dan memori sepanjang belajar di sekolah elit itu.

“Malah SKPCT antara sekolah cemerlang di Kuala Terengganu yang melahirkan ramai pelajar berjaya serta menjadi ikon masyarakat masa kini,” katanya.

Beliau berkata, program terbabit membuka peluang kepada mereka berkongsi pengalaman dalam kerjaya selain menghulur bantuan kepada rakan tidak bernasib baik serta berdepan masalah kesihatan.

“Ada kalangan kami bergelar majistret, pendidik, doktor, pensyarah, pegawai tadbir kerajaan, pegawai tentera serta usahawan.

“Bagaimanapun, ada kurang bernasib baik dan tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan serta komitmen keluarga.

“Kami akan cuba bantu mereka yang tidak bernasib baik ini supaya hubungan baik terus kekal dan mereka tidak merasa tersisih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:39 PM