MOHD Zaki (tiga dari kanan) menerima sijil penghargaan daripada Shafruddin sambil diperhatikan lima pelajar Murid Bestari Cemerlang Ikon Kejuruteraan Reka Bentuk. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


LIMA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam (SMKPA), Kuala Terengganu dinobatkan Murid Bestari Cemerlang Ikon Kejuruteraan Reka Bentuk pada majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Negeri Terengganu (APS) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT), Marang, hari ini.

Nur Salsabila Abdul Rahman, Rushdina Sofea Rusydan, Abi Amaar Arshad, Siti Nabilah Syahirah Roslan dan Muhammad Ajwad Mohd Zamri, masing-masing berusia 17 tahun dipilih selepas menggegarkan dunia dengan kejayaan merangkul juara Pertandingan Inovasi Peringkat Dunia di Romania pada Mei lalu.

Wakil peserta terbabit, Nur Salsabila, kejayaan itu menjadi pemangkin semangat kepada pasukannya untuk mencipta kejayaan lebih baik dalam pertandingan inovasi seterusnya.

“Selain itu, kejayaan dinobatkan sebagai Murid Bestari Cemerlang Ikon Kejuruteraan Reka Bentuk pada majlis hari ini membuktikan pelajar sekolah harian biasa mampu menggegar dunia, sekali gus meningkatkan lagi pencapaian pelajar Terengganu ke persada dunia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMKPA, Mohd Zaki Mohd Salleh berkata, anugerah terbabit hasil kemenangan merangkul tempat pertama kejohanan inovasi peringkat dunia di Romania Mei lalu.

“Kami rasa bertuah kerana inovasi dicipta lima pelajar itu iaitu alat penapis air dengan menggunakan bahan mesra alam berjaya menewaskan 60 sekolah dari seluruh dunia.

“Malah lebih membanggakan ciptaan penapis air itu mendapat perhatian beberapa syarikat di Eropah yang berminat dengan produk itu, sekali gus ia mampu menjadi pemangkin kepada peserta dan pelajar lain untuk lebih kreatif lagi,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shafruddin Ali Hussin.

Turut hadir, Ketua Sektor Pembestarian Sekolah BSTP, KPM Dr Suhaimi Kadir; Ketua Penolong Pengarah BTPNT, Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Matsor Ismail.

Bagi kategori Murid Bestari Cemerlang Ikon Robotik menjadi milik pelajar SMK Tengku Lela Segara, Marang manakala Murid Bestari Cemerlang Digital Story Telling Animasi dinobatkan kepada Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Anugerah Penggunaan Bahan Digital MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) sekolah rendah diraih Sekolah Kebangsaan Nyiur Tujuh, Besut manakala Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu muncul juara bagi kategori sekolah menengah.

Bagi Anugerah Pusat Sumber Sekolah kategori Sekolah Kurang Murid (SKM), SK Santong, Dungun muncul pemenang tempat pertama.

Kategori Ikon Guru Teknologi Pendidikan Sekolah Rendah menjadi milik Kamariah Awang dari SK Gong Balai, Marang manakala Azmirawanie Abdul Ghani dari SMK Kompleks Tembesu, Kuala Nerus merangkul anugerah sama bagi sekolah menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 11:10 PM