IZAM meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Labuan, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


LELAKI ditemui lemas manakala bapanya hilang selepas bot mereka naiki dipukul ombak di perairan Labuan, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Izam Jahar, 20-an, disahkan meninggal dunia manakala bapanya Jahar Asri, 50-an belum ditemui sehingga kini.

Seorang lagi rakan mereka, Rosman Emang, 40, terselamat dalam kejadian itu.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka bertiga keluar memancing sebelum bot dipukul ombak dan menyebabkan Izam terjatuh sebelum bapanya bertindak terjun untuk menyelamatkannya.

Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10 pagi.

“Mangsa dikatakan hilang selepas terjun ke laut bersama segelen air untuk menyelamatkan anaknya yang terjatuh dari bot akibat dipukul ombak besar.

“Rakan mangsa memaklumkan, ketika kejadian dia cuba menghidupkan enjin bot mereka dan apabila berjaya dihidupkan, dia hanya menemui anak mangsa dalam keadaan terapung manakala mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruszaman berkata, sejurus kejadian, rakan mangsa yang terselamat membawa anak mangsa ke darat untuk mendapatkan bantuan.

“Bagaimanapun, anak mangsa disahkan meninggal dunia dan mangsa pula hilang.

“Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 10.30 pagi,” katanya.

Kehilangan mangsa turut dimaklumkan kepada pihak lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Taman-Taman Sabah bagi membantu SAR.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah turut memaklumkan pasukan bomba melakukan SAR di kawasan pesisir pantai.

Bagaimanapun usaha mencari mangsa gagal dan operasi ditangguhkan pada 5.27 petang dan akan disambung semula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:48 PM