GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SURI rumah kerugian RM2,600 selepas ditipu satu pasangan yang membeli telefon bimbit Samsung Galaxy S10+ menggunakan wang palsu di stesen minyak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa bertemu dengan lelaki dan wanita terbabit di stesen minyak itu untuk menjual telefon bimbitnya.

Menurutnya, suspek kemudian menyerahkan 40 keping wang kertas RM50 kepada mangsa sebelum mereka beredar.

“Selepas itu, mangsa memeriksa wang itu sebelum mendapati ia adalah wang palsu.

“Menyedari ditipu mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai Tarawe berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati berurusan dalam transaksi jual beli dengan orang yang tidak dikenali atau sebarang transaksi secara dalam talian bagi mengelakkan terpedaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:26 PM