Shariffah Norhana pada sidang media hari ini bersama wartawan Malaysia sempena lawatan rasmi Tun Dr Mahathir ke Vietnam esok. FOTO Bernama
BERNAMA

LAWATAN rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam selama tiga hari bermula esok memperkukuhkan hubungan dan meningkatkan nilai dagangan dua hala kepada US$15 bilion pada tahun depan.

Duta Malaysia di Vietnam Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa berkata, lawatan pertama Dr Mahathir itu selepas memegang jawatan perdana menteri untuk kali kedua atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Beliau berkata, lawatan itu akan merapatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin selama 46 tahun, sejak 1973.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan untuk mempromosikan kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, isu serantau dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di Hanoi hari ini.

Beliau berkata, isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dijangka dibincangkan dalam pertemuan kali ini.

Kali terakhir Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam adalah pada 1996 dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 1998.

Shariffah Norhana berkata, Vietnam rakan ekonomi penting bagi Malaysia yang mana nilai dagangan Malaysia dan Vietnam berjumlah US$13.3 bilion tahun lalu.

“Eksport Malaysia ke Vietnam mencecah US$8.48 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah US$4.77 bilion.

“Kini Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Vietnam manakala Vietnam pula adalah rakan dagang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan ke-4 terbesar dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri; Kementerian Luar; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dr Mahathir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pada 5.20 petang (waktu tempatan) esok seterusnya menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Vietnam.

Pada Selasa, perdana menteri akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Istana Presiden.

Kedua-dua perdana Menteri akan mengadakan pertemuan terhad diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam.

Selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Ahli Parlimen Malaysia dan Vietnam disusuli sidang media bersama.

Pada hari sama, Dr Mahathir akan menghadiri dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia membabitkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam manakala pada malam, beliau dan Dr Siti Hasmah akan diraikan pada majlis makan malam rasmi yang dihoskan Nguyen Xuan Phuc.

Pada Rabu, perdana menteri akan melawat Hoa Lac Hi-Tech Park, berucap di University FPT mengenai ‘Persediaan Malaysia Dalam Berurusan Dengan IR 4.0’ selain melihat pameran kereta VinFast, buatan Vietnam model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5.

Selain itu, Dr Mahathir juga akan melawat Noi Bai Industrial Zone, zon industri terawal di Vietnam dan melawat pameran hi-tech di Yamaha Motor Vietnam di zon berkenaan.

Beliau merasmikan upacara pecah tanah zon perindustrian itu pada 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:18 PM