Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal yang cedera bahu akibat dihempap pokok tumbang di persimpangan lampu isyarat Kodiang-Jitra, Jitra hari ini meninggal dunia selepas lima jam bertarung nyawa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa, Abdul Halim Mat Isa, 47, dari Kampung Pekan Mukim Kubang Rotan, Alor Setar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra (HJ) pada 4 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika angin kuat dan hujan menyebabkan dahan pokok di tepi jalan patah lalu menghempap mangsa.

“Mangsa yang menunggang motosikal dihempap dahan pokok di tempat kejadian dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, mangsa kemudian dihantar ke HJ dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HJ untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi talian 04-9172222 untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

Malang tak berbau..

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:11 PM